Thursday 11 August 2011

Warga London Simpati Nasib Asyraf Haziq, Kutip Dana Bantunya



Walaupun berbeza latar belakang kaum, agama mahu pun warna kulit, warga London menunjukkan keprihatinan terhadap nasib malang yang menimpa penuntut Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rosli, 20, yang disamun dan mengakibatkan rahangnya terpaksa dibedah Isnin lalu.

Seorang rakyat Malaysia yang bermastautin di London, Shahrul Muzammir Mohd Sahir berkata satu laman web diwujudkan warga London. Laman web itu direka oleh The Minimalist dan ia antara lain menggunakan tagline: 'Let's Do Something Nice For Ashraf Haziq'. 

NONEBeliau berkata turut dipapar di laman web itu ialah video dari YouTube yang merakam detik-detik cemas ketika Asyraf disamun oleh beberapa remaja berkulit putih dan hitam yang berpakaian ala remaja Hip-Hop.

Di laman web itu juga The Minimalist mencadangkan agar satu kutipan dana dibuat bagi membantu Ashraf dan satu ruangan undian kepada pelawat memilih cadangan terbaik bagi membantu penuntut malang itu.

Antara cadangannya ialah: 'Pay His student fees' (bayar yuran pengajiannya), 'Pay for his family to come and visit him in hospital' (bayar perbelanjaan keluarganya untuk datang dan melawat beliau di hospital) dan 'Buy back the stuff that got nicked, PSP, bike, phone' (membelikan semula barangan yang dicuri, PSP, basikal, telefon bimbit).

Semakin popular

"Sejak kejadian itu, Ashraf semakin popular di sini, setiap hari berita mengenai kejadian samun itu disiar di akhbar dan YouTube, dan seingat saya Perdana Menteri David Cameron pun turut memberi komen.

"Secara peribadi, saya tidak mengenali pelajar itu... tetapi rata-rata warga London amat bersimpati dengan beliau, masih ada ramai orang British yang baik hati termasuk The Minimalist yang menunjukkan sikap prihatinnya dengan membuat laman web itu," katanya ketika dihubungi menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.

NONESementara itu, satu daripada portal berita British, London Evening Standard hari ini memetik ibu Asyraf di Malaysia Maznah Abu Mansor, 47, sebagai bekata: "Pada mulanya saya amat risau tetapi saya gembira dia selamat. Bagaimanapun, saya masih tidak berpeluang bercakap dengan dia kerana kecederaannya".

Maznah berkata beliau diberitahu mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu oleh pegawai Mara di tanah air.

Portal itu memetik pemimpin masyarakat Malaysia di London sebagai berkata mereka cuba memindahkan semua penuntut mereka dari kawasan itu.

Kolej Kaplan, tempat Mohd Asyraf menuntut, menawarkan kursus persediaan kepada penuntut asing yang berhasrat meneruskan pengajian ke universiti lain di London.

NONEPortal itu memetik Presiden Kelab Umno Malaysia London Dzuhair Hanafiah sebagai berkata: "Ia adalah kawasan yang sangat bahaya walaupun sebelum rusuhan bermula. Rakan-rakan Mohd Asyraf berjaya menyelamatkan diri tetapi dia diserang.

Dia kini dirawat di Royal London Hospital".

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Britain Datuk Zakaria Sulong berkata seorang pegawai telah dihantar untuk membantu mangsa.

"Kami akan tahu apa yang boleh dibantu selepas menemuinya," katanya.

Portal berita itu boleh dilayar di www.thisislondon.co.uk.

Isnin lalu, Asyraf, 20, pelajar tahun pertama pengajian perakaunan tajaan Mara di Kolej Kaplan, patah gigi dan cedera di rahang apabila diserang dan disamun sekumpulan lelaki yang terbabit dalam rusuhan ketika beliau dan rakannya menunggang basikal untuk pulang berbuka puasa.

- Bernama


1 comment:

Hans Hanis said...

tu la
kesian betul aku tgok video yang tunjuk dia kena rompak tu

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...